Thursday, June 11, 2009

Anak luar nikah

Macapada, negara digemparkan dengan kebejatan sosial dan akhlak para pemuda dan pemudi. Boleh dikatakan setiap hari ada sahaja kes-kes khalwat. Mereka tidak lagi gentar untuk melakukan zina. Aksi mereka kian hari, kian berani. Jika dahulu, mereka melakukan di tempat-tempat yang tersorok, tetapi hari ini mereka melakukannya di tempat awam seperti dalam LRT mahupun di kawasan rekreasi.

Impaknya, lahirlah anak-anak yang tidak berdosa hasil perbuatan terkutuk sepasang kekasih yang memadu asmara tanpa mengingati azab Allah yang sangat pedih dan tidak terperi. Akan tetapi apa yang dianggap seperti menabur garam ke atas luka adalah perbuatan membuang bayi. Sudahlah berdosa dengan perbuatan zina, malah mereka menambah dosa dengan membunuh pula. Tidak takutkah mereka pada azab Allah?

Fenomena yang berlawanan terjadi di negara Amerika yang sering kita kecam sebagai sebuah negara yang kejam. Di Amerika, bayi-bayi luar nikah yang enggan dibela oleh ibu bapanya, diambil oleh pihak kerajaan Amerika untuk dibela. Bertapa penyayangnya warga Amerika yang kita herdik dengan pelbagai tomahan tetapi sebenarnya kitalah yang lebih kejam kerana membunuh bayi yang suci baru sahaja lahir ke muka bumi.


Walaubagaimanapun, bayi-bayi yang dibela oleh kerajaan Amerika ini berkesudahan menjadi komando-komando yang tidak berperikemanusiaan dan sangat kejam. Hal ni kerana dari kecil lagi mereka ini tidak diberikan kasih sayang seperti mana yang diterima oleh bayi-bayi lain daripada ibu bapa mereka sebaliknya bayi-bayi ini didedahkan kepada unsur-unsur keganasan dan kekejaman. Komando-komando ini menjadi barisan paling hadapan unit infantri tentera Amerika. Oleh sebab itu, jika kita lihat serangan-serangan oleh tentera Amerika, mereka mampu membunuh dengan kejam sekali.

Apa kata jika kerajaan Malaysia mengambil inisiatif yang sama dengan membela anak-anak luar nikah yang tidak ingin dibela oleh ibu bapa mereka. Tujuan membela bayi-bayi ini bukanlah bagi melahirkan komando yang kejam dan tidak berperikemanusiaan tetapi melahirkan hafiz-hafiz al-Quran. Bukankah itu lebih molek? Bukan sahaja kes buang bayi dapat dikurangkan, malah ramai hafiz boleh dilahirkan. Lama-kelamaan, masalah kebejatan akhlak masyarakat Malaysia dapat dibenteras. Bak kata peribahasa, sambil menyelam, minum air.

No comments: